Thursday, June 6, 2013

BUAIAN TIDAK DIBENARKAN DI TASKA .


SAYANG ANAK TIMANG-TIMANGKAN

Pesakit terakhir yang kami ‘tidurkan’ ialah bayi berusia 4 bulan.

Bayi tersebut telah disyaki mendapat sawan pada pukul 2 petang tadi. Beliau sebelum ini sihat dan dijaga oleh pengasuh. Beliau tidak demam dan tidak batuk serta tidak mempunyai simptom-simptom yang lain. Itulah kali pertama beliau mendapat sawan.

Sesampai di resus room (red zone), beliau masih lagi kelihatan mengantuk dan kurang responsif. Beliau kelihatan pucat dan apa yang menakutkan kami ialah ubun-ubun depan beliau yang timbul dan mencembung (bulging). Memandangkan beliau tidak demam dan ujian menunjukkan beliau kurang darah (Hb 8g/dl), serta bayi tersebut masih kurang responsif selepas satu jam sawan, kami mengambil keputusan untuk melakukan CT scan otak ( Brain CT Scan).

Scan otak menunjukkan beliau mengalami pendarahan otak yang serius, Acute and Chronic Subdural Bleed with Subarachnoid bleed! Terkejut. Kali ini ibu bayi tersebut telah pun selamat tiba dari pejabatnya. Saya bertanyakan lagi sejarah kesihatan bayi tersebut. Satu-satunya cerita atau sejarah yang relevan ialah pengasuh bayi tersebut suka menimangnya tinggi-tinggi. Bayi itu dikatakan sangat suka ditimang.



SHAKEN BABY SYNDROME (SBS)

SBS merupakan kecederaan otak bayi disebabkan goncangan atau pergerakan kepala yang kuat. Boleh berlaku dalam tempoh sesingkat 5 saat pergerakan yang kuat. Kecederaan yang serius boleh menyebabkan kecacatan otak yang lama, serius dan kekal pada bayi. Ianya berlaku apabila kepala bayi digoncang atau dihentak dengan objek walaupun objek lembut seperti bantal. Ada teori mengaitkan dengan pergerakan seperti menimang bayi, menaiki buaian serta memegang bayi ketika seseorang sedang marah atau bergaduh boleh menyebab berlakunya SBS. Sebab lain ialah penderaan bayi (child abuse) dan selalunya mempunyai kesan-kesan penderaan yang lain.

Perkara ini berlaku kerana kepala bayi mempunyai nisbah yang lebih besar berbanding badan mereka, leher yang lemah dan struktur otak yang masih belum matang serta lebih kandungan air berbanding orang dewasa.

Amalan menimang atau menggoncang sering dilakukan oleh penjaga terutama bila bayi tidak mahu berhenti menangis. Ada yang menimang bayi kerana untuk menenangkan bayi dan ada juga melakukannya ketika marah atau penat menjaga bayi.

Ini bukanlah kes SBS pertama yang saya rawat. Sebelum ini saya juga pernah merawat seorang bayi di wad kanak-kanak yang mempunyai kecederaan otak yang serius dikhuatiri berpunca daripada menaiki buaian.

PENCEGAHAN
Jangan sesekali menggoncang bayi anda ketika marah atau untuk bermain. Jangan memegang bayi anda ketika marah. Jikalau anda tidak dapat menenangkan bayi anda, lebih baik anda tinggalkan bayi anda untuk sementara waktu di dalam katil bayi atau miinta bantuan orang lain.

Maka, saya sangat berharap agar ibu bapa dan penjaga semua dapat mengambil serius dan peka tentang Baby Shaken Syndrome ini. Ianya bukanlah kes terpencil malah di Amerika Syarikat sebanyak 1500 kes dilaporkan setiap tahun. Mereka juga telah mengharamkan sebarang bentuk alat menggoncang bayi seperti buaian.

RUJUKAN

www.medicinenet.com/shaken_baby_syndrome/page2.htm
www.nlm.nih.gov/medlineplus/ency/article/000004.htm
www.dontshake.org
en.wikipedia.org/wiki/Shaken_baby_syndrome

Dr.Muna
UMMUSAIF.COM
68000, Ampang

Saturday, September 17, 2011

Taska Husna Ceria Desa Anggerik

Sejarah Penubuhan

Taska Husna Ceria ditubuhkan secara tidak rasmi pada 2005 oleh seorang pengusaha tadika di Desa Anggerik iaitu Pn Aniza bte Abd Rahman . Pada asalnya penubuhan taska ini adalah demi memenuhi keperluan kanak-kanak dari tadika beliau iaitu Tadika Islam Al-Husna di mana sebaik waktu kelas tadika tamat ramai dikalangan ibu bapa terpaksa menghantar anak mereka ke taska lain atau rumah tumpangan sementara disebabkan kebanyakan ibubapa bekerja sehingga lewat petang. Di atas permintaan ramai ibubapa pada ketika itu maka kami bersetuju menjaga kanak-kanak ini sehingga ke waktu petang.
Namun begitu di atas faktor perundangan di mana setiap aktiviti penjagaan kanak-kanak wajib melalui proses pendaftaran samada sebagai "home base" mahu pun taska biasa. "Home base"terhad kepada 5 orang jagaan maksima pengusaha hanya perlu memaklumkan kejabatan, manakala taska berdaftar wajib mempunyai lot tepi disamping memenuhi syarat-syarat lain seperti Suruhanjaya Pendaftaran Syarikat(SSM), Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kesihatan dan Majlis Perbandaran Nilai(MPN).
Sejak beroperasinya Universiti Sains Islam Malaysia kami menerima banyak permintaan penjagaan anak-anak sehingga banyak terpaksa kami hampakan kerana faktor kuota pekerja yang telah pihak jabatan tetapkan. Disamping itu kesukaran mendapatkan staff juga membelenggu masalah hampir kesemua pengusaha taska.
Dengan adanya USIM telah ramai juga kami memberi peluang kepada pelajar-pelajar untuk menimba ilmu pekerjaan sebagai pekerja sementara jika ada waktu yang terluang.
Taska Husna Ceria mempunyai sistem penggajian yang sama seperti pekerja dalam industri lain seperti potongan socso, potongan kwsp di mana majikan juga akan menyumbang sejumlah wang ke dalam caruman pekerja, cuti tahunan, cuti sakit ,juga cuti tanpa gaji, elaun-elaun khas seperti elaun kedatangan, elaun penginapan dan kos perubatan melalui panel khas yang dilantik.
Pekerja juga akan menikmati kenaikan gaji tahunan yang diukur melalui prestasi kerja dan tanggungjawab diberikan. Pekerja juga diberi peluang menimba ilmu dengan dihantar berkursus anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan kos ditanggung separuh oleh pihak majikan.
Semua yang kami lakukan adalah demi memastikan anak-anak yang telah ibubapa amanahkan kepada kami untuk dijaga sepanjang hari berada dalam keadaan selamat dan sentiasa sihat.